Muhyiddin mulakan lawatan kerja ke Pangkor

PULAU PANGKOR, 15 SEPT – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memulakan lawatan kerja sulungnya ke Pulau Pangkor dengan meninjau Terminal Jeti Penumpang Pulau Pangkor, jeti utama yang menghubungkan pulau bebas cukai berkenaan dengan tanah besar.

Muhyiddin tiba di pulau itu pada kira-kira 9:30 pagi dan meluangkan masa selama 20 minit di situ  termasuk mendengar taklimat oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Taklimat termasuk isu-isu dan perancangan penambahbaikan terminal itu yang merupakan antara fokus di bawah Pelan Pembangunan Strategik (SDP 2021-2025) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Muhyiddin dalam rangka lawatan seharinya turut dijadual mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23 (PB23) yang akan membincangkan secara lebih lanjut mengenai SDP 2021-2025 NCER. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuba pembuatan proses sate ikan masin dan ikan kering ketika melawat ke Kilang Hasil Laut Pak Su sempena lawatan kerja beliau di Kampung Sungai Pinang Kecil, kelmarin. – Bernama