Muhyiddin suarakan ketegasan M’sia mengenai Palestin, Rohingya di UNGA

PUTRAJAYA, 25 SEPT – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengulangi ketegasan pendirian teguh Malaysia sejak sekian lama berhubung soal Palestin dan nasib yang menimpa kaum Rohingya di wilayah Rakhine, semasa menyampaikan pernyataan nasional Malaysia pada perbahasan umum sesi ke-17 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) pada 26 Sept.

Dalam ucapan di perbahasan umum di New York yang dibuat menerusi rakaman video awal, Muhyiddin juga dijangka mengetengahkan kepentingan tindakan bersama oleh negara anggota, dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani cabaran global.

“Perdana Menteri juga dijangka membangkitkan isu berkenaan pembaharuan dalam PBB,” kata Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.

Tema perbahasan umum tahun ini ‘The future we want, the United Nations we need: reaffirming our collective commitment to multilateralism – confronting COVID-19 through effective multilateral action’, bertumpu kepada kepentingan untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa, di tengah-tengah kekacauan yang berpunca daripada pandemik COVID-19, menurutnya.

Wisma Putra berkata Minggu Peringkat Tinggi sesi ke-75 UNGA menampilkan tiga mesyuarat yang diberikan mandat peringkat tinggi, dengan Malaysia akan diwakili di peringkat kementerian. – Bernama