Muhyiddin tinjau pembukaan semula sekolah

KUALA LUMPUR, 24 JUN – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan, di sini bagi meninjau pembukaan semula sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata beliau melalui proses saringan suhu badan di pintu masuk sekolah sebelum diiringi guru besar sekolah itu, Latifah Mohd Yusof melewati laluan khas bertanda memasuki kawasan sekolah dan seterusnya ke dewan utama bagi sesi taklimat.

“Pada taklimat itu, saya dimaklumkan bahawa sesi pembelajaran di sekolah ini hanya melibatkan pelajar tingkatan lima seramai 255 orang yang dibahagikan kepada 14 kelas daripada sembilan kelas sebelum PKP  dikuatkuasakan.

“Saya kemudiannya meninjau aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Daripada pemerhatian saya, semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dan kelas tidak boleh melebihi 20 orang dipatuhi.

“Setelah tiga bulan tidak bersekolah, pastinya perasaan bercampur-baur dirasai pelajar apabila dapat kembali semula ke sekolah dan perkara itu diluahkan kepada saya semasa berbual dengan sebahagian daripada mereka tadi,” menurut catatan itu.

Muhyiddin berkata selepas semua sekolah ditutup apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas, kerajaan pada 10 Jun membuat keputusan membuka semula sekolah secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) hari ini.

Dalam kunjungannya ke SMK Datok Lokman, Muhyiddin berkongsi ada antara pelajar mengakui berasa gementar atau bimbang dengan keselamatan diri berikutan pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

Bagaimanapun, katanya, mereka tetap teruja dapat kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan setelah sekian lama sesi pembelajaran hanya berlangsung secara dalam talian. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (berdiri tiga, kiri) melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Lokman pada Sesi Pembukaan Sekolah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kelmarin. – Bernama