Muhyiddin umum kabinet lebih berfokus

PUTRAJAYA, 9 MAC – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan barisan kabinet baharu tanpa timbalan perdana menteri, satu sejarah bagi Malaysia dan dalam masa yang sama, menamakan empat orang menteri kanan untuk memastikan ia sebuah kabinet yang berfungsi  serta dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih berfokus.

“Menteri-menteri kanan akan membantu saya menjalankan tugas sebagai perdana menteri termasuk mempengerusikan mesyuarat kabinet ketika ketiadaan saya dalam negara.

“Dengan adanya menteri-menteri kanan ini, maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang timbalan perdana menteri dilantik,” katanya.

Menteri-menteri kanan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Muhyiddin berkata menteri-menteri ini akan membantu beliau menyelaras hal ehwal kabinet yang berkaitan dengan bidang-bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan fail senarai nama pelantikan jemaah menteri semasa sidang media pengumuman itu di Bangunan Perdana Putra, kelmarin. –Bernama

“Menteri-menteri kanan ini akan membolehkan isu-isu berbangkit antara kementerian dalam bidang-bidang yang saya sebutkan itu dapat diselaras dengan lebih cekap dan berkesan. Ringkasnya, saya ingin membentuk sebuah kabinet yang benar-benar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat – a cabinet that delivers.”

Beliau turut dilihat mengambil tindakan “di luar kotak” dalam mengisi barisan kabinet baharunya dengan tidak bersandarkan kepada ahli politik semata-mata dalam pentadbirannya.

Elemen baharu ini dicerminkan dalam pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pelantikan teknokrat Tengku Zafrul itu dilihat sebagai sesuatu yang bersejarah kerana portfolio penting dan berpengaruh itu pada kebiasaannya dipegang oleh menteri kanan dalam parti pemerintah. Turut mendapat perhatian ialah kembalinya PAS ke persada Kerajaan Persekutuan selepas 42 tahun dengan pelantikan tiga wakil rakyatnya menyertai kabinet.

Mereka ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Alam Sekitar), Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan bertanggung jawab hal Parlimen dan Undang-undang serta Ahli Jawatankuasa Kerja parti Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Perusahaan Perladangan dan Komoditi).

Yang lain ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri); Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); dan Datuk Seri Rina Harun (Menteri Wanita dan Keluarga) dan Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan).

Masyarakat Cina dan India juga mempunyai wakil dalam kabinet itu apabila Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilantik sebagai Menteri Pengangkutan manakala Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan sebagai Menteri Sumber Manusia.

Muhyiddin juga melantik beberapa muka baharu, berkata beliau sedar rakyat amat berharap untuk kerajaan membantu mencari jalan penyelesaian terhadap apa jua masalah yang dihadapi dan justeru kabinet yang dibentuk itu akan memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berfokus dan berkesan, cekap, peduli rakyat, telus, berintegriti dengan struktur yang lebih mantap.  –Bernama