Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    MUIB terima lebih $200,000 zakat fitrah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sejumlah $290,007.08 zakat fitrah yang dikutip secara dalam talian telah diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada majlis yang berlangsung di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.

    Hasil kutipan zakat fitrah berkenaan yang diserahkan oleh penyedia-penyedia perkhidmatan pembayaran zakat fitrah secara online telah diterima oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku yang di-pertua MUIB.

    Pada tahun ini, bagi memudahkan orang ramai dalam pembayaran zakat fitrah, MUIB meneruskan lagi perkhidmatan zakat fitrah secara dalam talian dengan pilihan perkhidmatan sama ada melalui QuickPay yang disediakan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Zakat Fitrah Online Banking yang ditawarkan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), eZakat menerusi Datastream Digital (DST) dan Progresif PAY.

    Perkhidmatan berkenaan telah dibukakan kepada orang ramai bermula 1 hingga 28 Ramadan 1443H sebelum waktu Maghrib.

    Pada majlis berkenaan, hasil kutipan zakat menerusi BIBD QuickPay berjumlah $64,469.26 telah diserahkan oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman yang mengongsikan bahawa lebih 5,800 orang pengguna memilih untuk membayar zakat fitrah mereka melalui BIBD Quickpay, yang mencerminkan penerimaan semakin meningkat dan kecekapan kaedah pembayaran tanpa tunai secara umum tetapi juga secara praktikal semasa pandemik COVID.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menerima hasil kutipan zakat fitrah daripada penyedia-penyedia perkhidmatan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian iaitu BIBD, TAIB, DST dan Progresif.

    Manakala hasil kutipan daripada Zakat Fitrah Online Banking pula diserahkan oleh Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, hasil eZakat DST diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni dan hasil Progresif PAY pula diserahkan oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia Progresif, Awang Mohammad Yazdi bin Haji Yahya.

    Hasil zakat fitrah yang dikutip secara dalam talian tahun ini telah mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu yang berjaya mengutip $247,432.57.

    Wang zakat yang diterima berkenaan akan diagihkan ke-pada asnaf zakat yang berhak di Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin, mualaf, al-gharimin, amil dan ibnu sabil.

    Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, selaku naib yang dipertua MUIB; Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, penolong setiausaha MUIB, pemangku ketua Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat serta pegawai-pegawai dari MUIB, BIBD, TAIB, DST dan Progresif.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...