MUIB terima lebih $4 juta wang zakat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) hari ini menyerahkan wang zakat berjumlah $4,064,808.35 kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada majlis yang berlangsung di Bilik Dhiyafah, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Wang zakat berkenan adalah daripada akaun pelanggan-pelanggan yang telah memberi kebenaran kepada Perbadanan TAIB untuk memotong sebahagian daripada akaun simpanan mereka dari Januari hingga Disember 2021 lalu menurut garis panduan syariah.

Hadir menyerahkan wang zakat berupa mock cheque berkenaan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB kepada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku yang dipertua MUIB dan penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

Turut hadir menyaksikan penyerahan berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku timbalan yang dipertua MUIB; Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop selaku ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB; Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim dan para jemputan khas.

Perbadanan TAIB adalah antara institusi kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam yang menyalurkan perkhidmatan zakat secara automatik melalui pemegang akaun Perbadanan TAIB.

Perkhidmatan zakat secara automatik diperkenalkan pada 1998 dengan objektif bagi memudahkan pemegang akaun untuk menunaikan kewajipan dalam pembayaran zakat simpanan di Perbadanan TAIB.

Pelanggan bolehlah mendaftar untuk perkhidmatan potongan zakat secara automatik ataupun membuat pembayaran zakat melalui terminal layan diri di cawangan Perbadanan TAIB.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB menyampaikan wang zakat berupa mock cheque berjumlah $4,064,808.35 kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama selaku yang dipertua MUIB dan penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri majlis penyerahan wang zakat yang berlangsung di Bilik Dhiyafah, Bangunan Tambahan KHEU, kelmarin.