MUIB terima sumbangan zakat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), hari ini, telah menerima zakat perniagaan berjumlah $5,512.60 daripada Koperasi Ikatan Teluk Mewah (ITM) Bhd bagi tahun kewangan 2019.

Hadir menerima zakat perniagaan berkenaan pada majlis yang berlangsung di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku yang di-pertua MUIB.

Zakat tersebut diserahkan oleh Pengerusi Koperasi ITM Bhd, Haji Hambali bin Awang Tengah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku naib yang di-pertua MUIB dan Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop serta ahli Lembaga Koperasi ITM Bhd dan pegawai-pegawai dari MUIB.

MUIB merupakan badan ugama Islam yang tertinggi di negara ini yang mempunyai bidang kuasa dalam pengurusan dan pengendalian kutipan wang zakat iaitu berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sebagaimana yang termaktub dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77, Pindaan 1984 iaitu menerusi bab-bab 114 hingga 121 dan juga Peraturan Zakat dan Fitrah 1969.

Di Negara Brunei Darussalam, terdapat enam golongan asnaf zakat yang berhak menerima iaitu Asnaf Fakir, Miskin, Muallaf, Amil, Al-Gharimin dan Ibnu Sabil.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menerima zakat perniagaan yang diserahkan oleh Pengerusi Koperasi ITM Bhd.