MUIB umum Kadar zakat fitrah 1441H

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Zakat merupakan Rukun Islam yang keempat dan ia adalah wajib ke atas semua umat Islam yang cukup syarat-syaratnya untuk menunaikannya.

Dalam hal ini Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) memaklumkan bahawa kadar zakat fitrah bagi tahun 1441 Hijrah untuk beras wangi adalah $2.84 dan beras siam $1.93.

Nisab Zakat Harta (Wang Simpanan) pula ditetapkan pada kadar $5,852.25 dengan bayaran zakat sebanyak $146.30 (harga semasa bagi satu gram emas 21 karat berharga $68.85 x 85 gram = $5,852.25).

Tempat-tempat pengutipan dan pembayaran zakat dilakukan di ruang legar masjid atau beranda masjid. Manakala itu, dewan masjid adalah dilarang sama sekali untuk penerimaan zakat fitrah dan zakat harta.

Pembayaran juga boleh dilakukan di bangunan-bangunan utama setiap kementerian di mana ia diaturkan secara berjadual.

Bagi masjid yang tidak mempunyai kawasan berkenaan, pembayaran zakat fitrah dan zakat harta akan dijalankan di luar kawasan masjid dengan kem-kem tertentu akan disediakan.
Waktu penerimaan zakat pula bermula pada pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi dan disambung semula 1 petang hingga 3 petang.

Sehubungan dengan itu, penjarakan sosial harus dititik beratkan semasa penerimaan zakat fitrah dan zakat harta sesuai dengan arahan Kementerian Kesihatan dan pemeriksaan suhu badan juga akan dilaksanakan sebelum membuat pembayaran termasuk dengan penyediaan cecair pembasmi kuman.

Dalam melaksanakan pembayaran zakat, orang ramai dinasihatkan untuk membayar zakat lebih awal tanpa menunggu di penghujung bulan Ramadan dan jika merasa kurang sihat, haruslah mewakilkan kepada ahli keluarga yang lain, tidak bersalaman, mengekalkan penjarakan fizikal dan mematuhi arahan para petugas serta garis pandu pihak kesihatan.

Kadar zakat fitrah bagi tahun 1441 Hijrah untuk beras wangi adalah $2.84 dan beras siam $1.93. -Gambar hasan