Mukim Serasa, Mentiri meriahkan perayaan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Bagi sama-sama memeriahkan lagi sambutan perayaan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74, satu majlis menaikkan bendera Negara Brunei Darussalam telah diadakan di Mukim Serasa dan Mukim Mentiri di bawah Zon 2, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Pusat Dewan Kemasyarakatan Kampung Mentiri itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pemangku Penghulu Mukim Serasa, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohammed bin Pengiran [email protected]

Majlis berkenaan adalah bagi melahirkan rasa kasih sayang kedua-dua penduduk mukim terhadap kepimpinan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Majlis tersebut hanya melibatkan penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari kedua-dua buah mukim berkenaan.

Pada majlis tersebut, Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Ibrahim menyerahkan bendera kepada tetamu kehormat majlis untuk dinaikkan.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pemangku Ketua Kampung RPN Tanah Jambu, Haji Abdul Wahab bin Haji Kassim.

Pengiran Haji Ismail menyerahkan bendera kepada Yang Berhormat Pengiran Haji Mohammed untuk dinaikkan.
Antara yang menghadiri upacara menaikkan bendera negara itu.