Mula menampakkan hasil

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Usaha Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kadar sara diri bekalan beras negara mula menampakkan hasil apabila varieti padi hibrid Sembada 188 yang ditanam pada Oktober tahun lalu sedia untuk dituai.

Sehubungan dengan itu, Baginda Sultan, hari ini, berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Mengetam Varieti Padi Hibrid Sembada 188 di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan, Mukim Pengkalan Batu.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan di KKP Wasan, Mukim Pengkalan Batu dijunjung oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta pegawai kanan yang lain.

Turut hadir ialah sebahagian menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, para perwakilan asing ke negara ini serta para peladang di KKP Wasan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan dijunjung menaiki Combine Harvester dan merasmikan penuaian padi Sembada 188 di KKP Wasan, Mukim Pengkalan Batu kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah perasmian Penuaian Padi Sembada 188. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai semasa berangkat menyaksikan Pameran Crop Production. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda Sultan berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan barangan yang dijual di Ideal MultifeedFarm.

DYTM Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan dijunjung mengetam padi menggunakan mesin khas mengetam padi, kelmarin.

Sejurus keberangkatan tiba di ladang padi KKP Wasan, Baginda Sultan berkenan dijunjung untuk mendengarkan sembah taklimat mengenai perkembangan penanaman Padi Sembada 188 dan Skim Insentif Pertanian Agrimakanan yang disembahkan oleh Ketua Bahagian Padi dan Perlindungan Tanaman, Dayang Khairunnisa binti Haji Omar Ali.

Manakala itu, sembah penerangan mengenai Projek Empangan Imang, Projek Penerokaan Air Bawah Tanah dan Projek Pembukaan Kawasan Kandol bagi penanaman padi secara komersial berkeluasan 500 hektar di Daerah Belait disembahkan oleh Ketua Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertanian, Awang Saidin bin Namit serta sembah penerangan mengenai projek penanaman padi secara komersial di KKP Panchor Murai seluas 110 hektar disembahkan oleh Pengurus Yaz & Wyn Enterprise, Awang Ezwyn bin Haji Bakar.

Bagi memberkati majlis, acara didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Baginda Sultan kemudian berkenan mengurniakan titah perasmian sebelum dijunjung berangkat untuk bercemar duli bagi menyempurnakan Perasmian Majlis Mengetam Varieti Padi Hibrid Sembada188 di Ladang Koperasi Setia Kawan (KOSEKA), KKP Wasan dengan menggunakan sebuah jentuai.

Persembahan Tausyeh Syukur dipimpin oleh seramai 15 orang para siswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengiringi Baginda semasa mengetam varieti padi hibrid Sembada 188 berkenaan sebelum berkenan bergambar ramai dan beramah mesra bersama ahli-ahli KOSEKA dan pihak Pengurusan Yaz & Wyn Enterprise sebelum berangkat ke Pusat Pemprosesan Padi Wasan.

Perkhidmatan mesin pengisaran padi di Pusat Pemprosesan Padi Wasan buat masa ini, dijalankan oleh Syarikat Pertanian Tropikal Utama, manakala operasi penerimaan padi, penuangan padi ke mesin pengisar, pembungkusan beras, penjualan beras dan pemeliharaan mesin pengisar dijalankan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Seterusnya, Baginda Sultan dijunjung untuk berangkat ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kampus Agro-Teknologi, Wasan untuk melawat dan meninjau tapak-tapak pembelajaran penuntut IBTE, Kampus Agro-Teknologi, Kampung Wasan.

Sebelum mengakhiri lawatan, Baginda Sultan berkenan berangkat ke Majlis Santap Tengah hari di Dewan Serbaguna IBTE, Kampus Agro-Teknologi, Wasan.

Terdahulu, Baginda Sultan berkenan berangkat ke Ladang Ideal Multifeed Farm (B) Sdn Bhd di Kampung Bengkurong-Masin yang mengusahakan ladang seluas 89 hektar bagi perusahaan ternakan ayam pedaging menggunakan sistem reban tertutup, perusahaan ternakan ayam pedaging menggunakan sistem reban konvensional, ternakan ayam penelur menggunakan reban tertutup dan sebuah pusat penyembelihan ayam.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan ke ladang itu telah dijunjung oleh Pengarah Urusan Ideal Multifeed Farm (B) Sdn Bhd, Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman dan para ahli pengurusan ladang berkenaan.

Kemudian Baginda berkenan berangkat melawat ke Ladang Syarikat Perusahaan Haji Mohd Salleh bin Haji Ludin dan Anak-anak di KKP Batumpu.

Syarikat berkenaan mengusahakan ladang sayur-sayuran seluas tujuh hektar, menggunakan sistem konvensional bagi tanaman sayur-sayuran jenis daun dan buah.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan ke ladang tersebut telah dijunjung oleh Pengurus Ladang, Haji Mohd Salleh bin Haji Ludin, pengusaha dan pemilik syarikat berkenaan serta ahli keluarga beliau.