NICHOLASVILLE, AMERIKA SYARIKAT, 11 JULAI – Trey Mullinax membenamkan birdie setinggi 15 kaki di lubang terakhir kelmarin untuk memenangi Kejohanan Barbasol bagi gelaran PGA Amerika Syarikat (AS) pertamanya sekali gus menempah tempat di Terbuka Britain pada minggu hadapan.
Pemain Amerika berusia 30 tahun itu melepaskan pukulan enam di bawah par 66 pada pusingan akhir untuk menamatkan saingan dengan 25 di bawah 263 serta mengetepikan rakan senegara, Kevin Streelman dengan satu pukulan selepas lubang ke-72 di Keene Trace.
Mullinax yang juga merupakan pemain ranking ke-370 dunia dan pernah mencatat rekod terbaik sebelum ini di Terbuka Texas 2018, akan membuat permulaan pertamanya di Terbuka Britain, yang berlangsung pada Khamis di Saint Andrews.
Streelman, di ranking ke-129, mendahului dengan melakukan birdie ke-17 untuk menyaingi Mullinax dan ketegangan memuncak apabila mereka mencapai lubang penamat ke-18. Mullinax walau bagaimanapun beraksi tenang dan memenangi perlawanan dengan pukulan putt.
Sementara itu, Streelman, pemenang dua kali PGA, gagal menyempurnakan pukulan putt birdie sembilan kaki bagi mengheret perlawanan ke play-off, dan hanya berjaya menduduki tempat kedua.
Manakla Mark Hubbard dari AS berada di tempat ketiga dengan 266 selepas membuat pukulan 65. Hurly Long dari Jerman di tempat keempat dengan 267, dengan pemain Amerika Vince Whaley dengan 268 dan Adam Svensson dari Kanada di tempat keenam dengan 269. – AFP