Multilateralisme penting tangani pandemik masa depan

PHNOM PENH, 18 JUN – Kemboja percaya hanya kerjasama dan koordinasi pelbagai peringkat membabitkan semua negara termasuk ASEAN dapat menangani sebarang ancaman global seperti pandemik yang dihadapi dunia sekarang, secara berkesan.

Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, COVID-19 yang menggugat dunia wajar menjadi pengajaran bahawa setiap negara tidak boleh hidup bersendirian.

“Multilateralisme atau kerjasama pelbagai peringkat sangat diperlukan kerana perlu ada koordinasi global jika mahu mencari rumusan bagi menangani masalah yang mengancam dunia.

“Wabak seperti COVID-19 ini memerlukan tindak balas secara bersama berasaskan data dan bukti saintifik bagi menyelaras strategi lebih berkesan mengatasinya,” katanya.

Beliau menekankan perkara itu pada pertemuan khas Menteri Luar ASEAN-Rusia mengenai COVID-19 menerusi sidang video hari ini.

Menurutnya lagi, semua negara perlu mempunyai akses tanpa had dan waktu tepat untuk ubat-ubatan dan vaksin berkualiti, selamat selain berpatutan harganya sebagai barangan global biasa.

Berdasarkan kenyataan media Kementerian Luar Kemboja yang disiarkan selepas mesyuarat berkenaan, Sokhonn, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menyuarakan rasa gembira terhadap hasil pertemuan itu.

Katanya, ASEAN dan Russia juga menerima resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada bulan lalu serta mengakui betapa pentingnya menerapkan langkah kesihatan sesuai dengan Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005.

Menurut kenyataan sama, ASEAN dan Russia juga sepakat menggesa masyarakat antarabangsa mengetepikan perbezaan politik dan bekerjasama atas semangat tanggungjawab serta solidariti dalam tempoh sukar ini.

Blok ASEAN merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Xinhua