ABUYOG, FILIPINA, 13 APRIL – Jumlah kematian akibat bencana tanah runtuh dan banjir di Filipina telah meningkat kepada 80 orang hari ini dengan puluhan lagi hilang dan dikhuatiri mati, kata pegawai, ketika pasukan penyelamat menggali lebih banyak mayat menggunakan tangan di kampung-kampung terjejas.
Kebanyakan mangsa korban akibat ribut tropika Megi – paling kuat melanda kepulauan itu tahun ini – berlaku di wilayah tengah Leyte, di mana beberapa siri tanah runtuh memusnahkan komunitinya.
Sebanyak 26 orang maut manakala 150 lagi hilang di kampung pesisir Pilar, yang menjadi sebahagian perbandaran Abuyog, selepas lumpur deras dan tanah kelmarin telah menghanyutkan rumah-rumah ke laut dan menimbus kebanyakan perkampungan, kata pihak berkuasa.
“Saya terpaksa jujur, kami tidak menjangkakan sebarang mangsa terselamat,” kata Datuk Bandar Abuyog, Lemuel Traya kepada AFP, menambah bahawa kakitangan kecemasan kini menumpu pada tugas mencari mayat mangsa.
Kira-kira 250 penduduk kampung telah ditempatkan di pusat pemindahan selepas diselamatkan menggunakan bot kerana jalan-jalan tersekat akibat tanah runtuh, katanya.
Sebilangan penduduk kampung juga dirawat di hospital.
Bunyi berderam-derum seperti ‘helikopter’ telah menyedarkan Ara Mae Canuto, 22, mengenai tanah runtuh yang menuju ke rumah keluarganya di Pilar.
Menurutnya, dia cuba untuk lari lebih laju, namun dihanyutkan ke dalam air dan hampir lemas.
“Saya tertelan lumpur dan semua mata serta hidung saya dipenuhi lumpur,” kata Canuto kepada AFP menerusi telefon dari katil hospitalnya. Ayahnya terkorban manakala ibunya belum ditemui. – AFP