Mumbai laksana sekatan selepas kes memuncak

NEW DELHI, 22 FEB – Bandar kewangan India, Mumbai mengenakan sekatan koronavirus baharu hari ini ketika kes meningkat di rantau yang terjejas teruk mencetuskan kebimbangan gelombang baharu, sementara kempen inokulasi besar-besaran di negara itu tertangguh daripada yang dijadualkan.

Semua perhimpunan keagamaan, sosial dan politik telah ditegah di bandar itu dan sekitar Maharashtra, rumah kepada 110 juta orang, selepas jangkitan memuncak ke tahap tertinggi pada Oktober.

Ketua Menteri Maharashtra, Uddhav Thackeray berkata dia ‘bimbang tentang gelombang kedua yang teruk jika ia melanda negeri itu,” yang telah mencatatkan hampir 52,000 kematian sejak pandemik bermula.

“Mantera mudah adalah memakai penutup mulut dan hidung, mematuhi disiplin dan menghindari sekatan pergerakan. Kami akan mengkaji semula situasi dalam masa lapan hari dan menentukan sekatan,” kata Thackeray dalam siaran langsung kelmarin.

Sekatan ketat juga dikenakan di tempat lain di negeri itu.

Kakitangan kesihatan memakai alat pelindung ketika mengambil sampel swab penumpang yang tiba di terminal kereta api di Mumbai pada 22 Februari. – AFP

Kes baharu harian memuncak lebih 97,000 pada September namun berkurang, di bawah 9,000 sehari awal bulan ini.

Tetapi dua minggu lalu telah menyaksikan peningkatan dengan sekitar 14,000 jangkitan baharu hari ini, pertambahan terbesar di Maharashtra, membawa jumlah keseluruhan di India melebihi 11 juta sejak pandemik bermula dengan 156,000 kematian.

Di bandar New Delhi, di mana hari ini mencatatkan hanya 46 jangkitan baharu manakala dua kematian di bandar besar dengan 20 juta penduduk, penduduk tempatan memberitahu AFP yang mereka masih lagi bimbang.

“Jika kita melihat di seluruh dunia, kes-kes telah meningkat semula di negara-negara yang telah melonggarkan sekatan,” kata penjual dan profesional pemasaran, Gaurav Kumar berusia 44 tahun.

“Kita tidak boleh memandang ringan hal tersebut, berdasarkan saiz penduduk dan sejarah kes baru-baru ini.” – AFP