Mumia berusia 1,200 tahun ditemui

LIMA, 1 DIS – Sekumpulan ahli arkeologi di Peru di tapak ekskavasi di pinggir ibu negara itu menemukan mumia yang dipercayai berusia antara 800 dan 1,200 tahun.

Mumia yang diikat dengan tali itu ditemukan di tempat pengebumian yang panjangnya kira-kira tiga meter dan pada kedalaman kira-kira 1.4 meter di tapak penggalian yang terletak di Cajamarquilla, kira-kira 24 kilometer di timur ibu negara itu.

Ahli arkeologi, Pieter Van Dalen, yang mengetuai projek Cajamarquilla menyifatkan penemuan itu sebagai ‘pelik dan unik’.

“Mumia itu mungkin dikebumikan di antara 800 dan 1,200 Masihi,” katanya sambil memberitahu mumia itu sekurang-kurangnya berusia 800 tahun.

Menurut kumpulan penyelidik di Universiti San Marcos, pada satu sisi mumia itu, pakar menemui rangka khinzir guinea Andes yang kelihatan seperti anjing.

Kesan jagung dan sayur-sayuran lain turut ditemui di tapak pengebumian itu.

Van Dalen memaklumkan, Cajamarquilla adalah pusat bandar yang mungkin pernah didiami 10,000 hingga 20,000 penduduk satu masa dulu.

Bandar ini dibina pada sekitar 200 Sebelum Masihi (SM) dan diduduki sehingga kira-kira 1,500 SM. – AFP

Pakar arkeologi Pieter Van Dalen Luna menunjukkan mumia yang dianggarkan berusia 800 dan 1,200 tahun yang digali di tapak arkeologi pra Inca Cajamarquilla, 25 kilometer dari Lima pada 30 November 2021. – AFP