Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan KKBS
TUTONG, 29 OKT – Sebagai inisiatif bersepadu dan menambah lagi platform dalam sama-sama menangani pandemik COVID-19, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan belia-belia masjid telah meneruskan Program Munajat Belia dan Bacaan Surah Al-Kahfi secara maya.
Kali ini, program yang turut melibatkan persatuan-persatuan dan pergerakan belia itu dikendalikan bersama Kumpulan Impak, Pusat Belia Tutong.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Kemudian acara diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar beramai-ramai sebelum mendengarkan Tazkirah bertajuk ‘Ketabahan dan Kesabaran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW’ yang disampaikan oleh guru agama Sekolah Nusa Jaya, Keriam Tutong, Awang Abdul Hadi bin Abdul Rahman.
Antara pengisian tazkirah ialah kepentingan kesedaran belia untuk ketabahan dan kesabaran serta jati diri dalam menghadapi apa jua cabaran hidup dan pengorbanan para belia menghadapi dugaan pandemik ini.
Tazkirah juga menekankan peranan belia untuk berbakti dan menyumbang secara aktif dan kolaboratif kepada agama, bangsa dan negara bagi membantu pihak kerajaan membendung penularan penyakit berjangkit.
Program diselajurkan dengan bacaan Surah Al-Kahfi sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Menghindari Wabak Penyakit COVID-19 dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Turut serta dalam program secara maya tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai kanan KKBS dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), ahli-ahli persatuan dan pergerakan belia serta keluarga, agensi-agensi kerajaan, anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, majlis perundi-ngan kampung, Pusat Kegiatan Warga Emas, belia umum dan orang ramai.
Objektif program adalah untuk membolehkan para belia berkumpul secara maya dalam aktiviti keagamaan yang dapat mendekatkan diri dengan amalan dan nilai mulia agama Islam dalam menghadapi cabaran norma baharu serta persatuan dan pergerakan belia berpeluang untuk melaksanakan program ini secara kerjasama.