Munajat beramai-ramai mohon keampunan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Lebih 1,500 orang warga Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan orang awam bersama keluarga masing-masing turut serta dalam menjayakan Majlis Malam Munajat yang diadakan secara dalam talian untuk julung kalinya, petang kelmarin.

Acara keagamaan itu merupakan usaha bersama membendung penularan wabak COVID–19 di Negara Brunei Darussalam khasnya dan seluruh dunia amnya.

Majlis Malam Munajat secara maya berkenaan dibukakan kepada orang awam di negara ini dengan membaca beramai-ramai secara dalam talian dari kediaman masing-masing.

Malam merupakan salah satu usaha dan pendekatan KHEU dalam mendekatkan seluruh masyarakat di negara ini bagi memohon keampunan dari Allah SWT, dengan sama-sama bermunajat, beristighfar, berzikir dan merafakkan doa secara serentak beramai-ramai dengan doa dan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar dan terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya khasnya wabak COVID-19 yang melanda Negara Brunei Darussalam.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama ketika majlis munajat secara maya berkenaan.

Kemudian, majlis diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Abdul Aziz bin Haji Nasran yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah dan diteruskan dengan bacaan Doa Yasin oleh Awangku Mohd ‘Ashim ‘Afiif bin Pengiran Haji Mohd Zin daripada Belia Syababus Salam, Masjid Omar Ali Saifuddien.

Majlis seterusnya diisikan dengan Zikir Istighfar dan Taubah beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Muhammad Rizmee Saufi Shahadat bin Abdul Mu’izz Zul Azmi, pelajar Skim Tilawah
Al-Quran Remaja, Jabatan Pengajian Islam dan diteruskan dengan bacaan doa bagi memohon terhindar daripada wabak COVID-19 oleh Awang Muhammad Nur Asymawi bin Awang Asli, siswa Diploma Pengajian Seni Al-Quran, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh siswa Diploma ‘Aliyah Qira’at, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhammad Azib bin Muhammad Azim.

Turut serta dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, para pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai, guru dan kakitangan KHEU.

Terdahulu, majlis didahului dengan sembahyang Fardu Maghrib dan sembahyang Sunat Taubat dan doa serta sembahyang Sunat Hajat dan doa di rumah masing-masing.