Munajat panjatkan perlindungan daripadaNya

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Majlis Malam Munajat diteruskan lagi pada minggu ke-9 secara maya melalui aplikasi Microsoft bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar melindungi negara kita.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman hadir dan mengetuai bacaan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah.

Majlis disiarkan secara langsung menerusi Instragram Pusat Dakwah Islamiah itu juga dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Ir. Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

Pada siaran online itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa sesi bual bicara menyentuh mengenai pembukaan masjid-masjid dan balai-balai ibadat di seluruh negara bermula 19 November kelak dan menasihatkan orang ramai sentiasa mengikuti peraturan-peraturan dan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) disediakan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas penyertaan orang ramai menjayakan majlis munajat itu setiap minggu.

Manakala Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pula menyampaikan penghargaan atas penganjuran malam munajat oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi sama-sama berdoa dengan harapan semoga keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam terus diberikan perlindungan oleh Allah SWT dan diberikan kekuatan serta keimanan jua.

Yang Berhormat Dato turut memuji dan menghargai akan keaktifan penglibatan belia kita di negara ini, bukan sahaja dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan bahkan juga sama-sama aktif dalam bidang kerohanian dan keagamaan.

Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin pula melahirkan syukur kerana sentiasa diberikan peluang menyertai majlis itu selama ia berlangsung dan melahirkan penghargaan kepada KHEU.

Majlis munajat tersebut diserikan dengan Zikir Istighfar dan Taubah beramai-ramai dipimpin diteruskan dengan bacaan Doa bagi Memohon Terhindar dari Wabak COVID-19, bacaan Asma’ul Husna dan selawat dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama pegawai lain semasa Majlis Malam Munajat yang diadakan baru-baru ini. – Gambar serahan KHEU