Oleh Daniel Lim
BELAIT, 27 APRIL – Bagi menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan, terutama di kalangan saudara-saudara baru yang menjalani ibadah puasa buat pertama kali, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pengembangan Dakwah dan Unit Dakwah Belait mengungkayahkan Program Munajat Ramadan dan Bersungkai di Rumah Panjang Mendaram Besar, Labi, baru-baru ini.
Acara diadakan di Rumah Panjang Mendaram Besar dan dihadiri oleh Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abd Kahar. Turut serta dalam program tersebut ialah Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Dayang Zikrinaidah binti Mat Dikir; Ketua Rumah Panjang Mendaram Besar, Awang Berandi Anak Janau, serta pegawai dan kakitangan PDI di Daerah Belait.
Program dimulakan dengan Munajat Ramadan yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama secara maya selepas solat fardu Asar. Ini diikuti dengan acara bersungkai bersama para mualaf dan bukan Islam yang menetap di Rumah Panjang Mendaram Besar, dan juga penduduk sekitar kawasan Labi.
Acara seterusnya diisikan dengan tazkirah bertajuk ‘Lailatul Qadar’ disampaikan oleh Pegawai i-Ready, PDI, Awang Abdul Khaliq bin Kamree.
Antara tujuan program ini diadakan ialah untuk mengisi bulan Ramadan dengan aktiviti bercorak keugamaan sekali gus melibatkan para mualaf yang menetap di Rumah Panjang Mendaram Besar tersebut.