Muncung pam tercabut, atendan cedera

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Seorang atendan pam minyak cedera selepas terkena libasan muncung pam tercabut dalam kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak, pagi tadi.

Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) dalam kenyataannya mengesahkan kejadian berlaku apabila seorang pelanggan memandu pergi selepas mengisi minyak menyebabkan mekanisme muncung hos terputus dan terkena seorang atendan pam.

Pekerja berkenaan kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan BSM dalam kenyataan itu juga memberi jaminan bahawa stesen minyak berkenaan selamat dan menyambung operasinya seperti biasa.

BSM dalam kenyataannya mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menunggu arahan pekerja bahawa pengisian telah selesai dan muncung pam telah dikeluarkan sebelum memandu pergi.

Pelanggan dipertanggungjawabkan bagi kos pembaikan yang boleh mencecah $1,000.