KUALA TERENGGANU, 17 DIS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan membuat analisis terhadap objek yang didakwa muntah ikan paus atau ambergris yang dijumpai seorang wanita di Marang, baru-baru ini.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT Prof Madya Dr Hasrizal Shaari berkata pihaknya telah menerima sampel tersebut daripada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.
“Kita terima sampel seberat empat gram itu malam tadi dan keputusan analisis akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.
“Ini selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) yang terjalin antara UMT dengan Jabatan Perikanan untuk sentiasa bekerjasama dalam apa sahaja berkaitan spesies marin terancam dan kelautan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.– Bernama