Murid ISB KB tunjuk bakat muzik

Gambar daripada ISB

BELAIT, 13 DIS – Sekolah Antarabangsa Brunei (IBS) Kuala Belait, baru-baru ini, telah menghoskan Ekstravaganza Muzik pertamanya di Dewan Cenderawasih, Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ISB, acara itu mengetengahkan bakat-bakat dan keupayaan semua pelajar cawangan KB daripada pra-tadika (sekecil dua tahun) hingga murid Tahun 6 menerusi persembahan yang berwarna-warni.

Murid-murid ISB KB menunjukkan bakat muzik mereka menerusi nyanyian dan tarian di hadapan lebih 150 orang ibu bapa yang hadir.

Persembahan muzik berkenaan juga termasuk persem-bahan-persembahan piano, dram, gitar dan violin secara solo.

Acara berakhir dengan nyanyian lagu kumpulan ABBA bertajuk Thank You For The Music yang menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.

Kenyataan menyatakan, murid-murid ISB KB telah berlatih sejak September lalu bagi acara berkenaan. Kurikulum sekolah berkenaan ditambah dengan kelas muzik khusus setiap minggu dan kelas muzik seorang ke seorang selepas sekolah dengan bimbingan daripada Rhythmic Arts Sdn Bhd.

Selain menyerlahkan bakat sebenar para murid, persembahan muzikal itu juga membantu membangunkan dan mengajar ketabahan, disiplin diri dan keyakinan, yang berguna untuk kehidupan seharian.

Ini merupakan yang pertama daripada banyak lagi pengalaman muzikal yang akan diadakan bagi kanak-kanak di ISB KB.

Menurut kenyataan itu, Sekolah KB akan memindah sekolah dan operasinya ke Seria pada tahun depan. Sekolah berkenaan dijangka siap menjelang penggal kedua sekolah pada 2020.

Salah seorang murid membuat persembahan gitar dengan sokongan daripada Rhythmic Arts.
Murid-murid ISB KB menunjukkan bakat mereka menerusi persembahan nyanyian dan tarian.