Murid nikmati manfaat Program PPRMT

KUALA LUMPUR, 20 JAN – Murid-murid di Sabah dan Sarawak turut tidak ketinggalan dalam menerima manfaat Program Penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (PPRMT) yang bermula hari ini.

Penambahbaikan yang dilakukan kepada program RMT itu antara lain mengubah waktu pelaksanaan serta meningkatkan jumlah penerima, dengan mengambil kira murid dalam kategori miskin dan bukan sahaja miskin tegar, selain penerima sedia ada seperti murid kurang upaya (OKU) dan murid di Sekolah Orang Asli/Penan.

Di Sarawak, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Azhar Ahmad berkata seramai 2,704 murid terpilih dari 10 sekolah terlibat dalam program sama.

Di Sabah, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Dr Mistirine Radin berkata seramai 5,423 murid di 13 sekolah rendah di negeri berkenaan, menerima manfaat daripada program berkenaan. – Bernama