Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Murid pra mula alam persekolahan

    Oleh Yusrin Junaidi, Nurdiyanah R. dan Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN/BELAIT, 9 JAN – Seramai 2,958 orang kanak-kanak yang terdiri daripada 1,587 orang murid lelaki dan 1,371 orang murid perempuan yang berdaftar untuk mengikuti pembelajaran peringkat prasekolah tahun ini, telah memulakan alam persekolahan di sekolah-sekolah rendah kerajaan di seluruh negara, hari ini.

    Sebanyak 116 buah sekolah rendah kerajaan di negara ini telah menyediakan kelas-kelas prasekolah pada tahun ini.

    Media Permata berkesempatan menemu bual Guru Besar Sekolah Rendah (SR) Orang Kaya Besar Imas Subok, Hajah Masriatol Nazahiyah binti Haji Mohammad yang mengongsikan, “Sudah menjadi kelaziman, seminggu selepas penggal persekolahan pertama bermula, pihak sekolah akan menerima kemasukan murid-murid prasekolah baharu.

    “Sebagai persediaan awal bagi menyambut kedatangan murid-murid ini, pihak sekolah telah menyediakan pelbagai perancangan yang perlu direalisasikan bagi memastikan kelancaran kemasukan murid pra.

    “Taklimat dan hari orientasi diadakan untuk memperkenalkan sekolah kepada para murid pra.

    Salah seorang guru pra di SRMA, Seria, mengadakan aktiviti bersama murid-murid pra pada hari pertama persekolahan agar mereka terbiasa dengan persekitaran pembelajaran baharu.
    Antara murid pra yang hadir pada hari pertama di Sekolah Rendah Muda Hashim, Tutong, kelmarin.
    Guru berinteraksi dengan murid pra di Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, kelmarin.
    Guru pra SRMA, Seria semasa mengadakan aktiviti bersama murid pada hari pertama persekolahan kelmarin.

    “Orientasi juga salah satu inisiatif sekolah bagi melestarikan pemikiran murid pra bahawa School is Fun, memastikan bilik darjah dalam keadaan kondusif, bersih dan kemas serta perabot dan peralatan pra mencukupi untuk kegunaan pembelajaran, selain mengadakan perbincangan berterusan bersama guru-guru pra bagi maslahat bersama,” tambahnya.

    Sementara itu, di Daerah Belait, seramai 19 orang murid prasekolah di SR Muhammad Alam (SRMA), Seria, dengan tiga di antara mereka murid berkeperluan khas telah memulakan hari pertama sesi akademik persekolahan pada hari ini.

    Penolong pengetua sekolah berkenaan, Dayang Siti Hairani binti Haji Ibrahim menjelaskan persediaan awal telah dilakukan sejak tahun lalu dengan program orientasi dan taklimat bersama pelajar serta ibu bapa dan penjaga.

    “Ia dilakukan untuk memastikan ibu bapa dan penjaga boleh menghantar anak mereka ke sekolah dengan hati tenang selain membiasakan pelajar dengan persekitaran pembelajaran baharu mereka,” katanya.

    Penolong pengetua menambah sekolah juga mengutamakan pelajar berkeperluan khas yang belajar di sekolah itu.

    “Di SRMA, kami bernasib baik kerana mempunyai persekitaran pembelajaran khas, Pusat Kecemerlangan (COE) di mana pelajar berkeperluan khas boleh memperoleh kemahiran hidup berdasarkan keperluan mereka bersama guru-guru terlatih sekolah ini,” ujarnya sebelum mengakhiri temu bual.

    Di Daerah Tutong pula, salah seorang guru pra di SR Muda Hashim, Tutong, Hajah Norlida binti Haji Saidi ketika ditemui, berkata bahawa lebih 25 orang kanak-kanak pra baharu telah berdaftar di sekolah tersebut pada tahun ini.

    “Alhamdulillah, dengan adanya sesi orientasi pada terdahulu telah membawa kesan positif dalam diri kanak-kanak yang mana kebanyakan mereka sudah tidak berasa takut apabila ditinggalkan oleh ibu bapa atau penjaga malah mereka kelihatan seakan-akan begitu teruja untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan untuk mereka,” ujarnya.

    Tambah Hajah Norlida, pendidikan pra ini merujuk kepada pendidikan secara menyeluruh di mana beliau begitu memfokuskan 3M iaitu Menulis, Membaca dan Mengira sambil menerapkan daya pemikiran secara spontan kepada golongan kanak-kanak tersebut.

    “Biarlah mereka berasa seronok umpama bermain sambil belajar agar minat mereka berkembang dari hari ke hari bersama rakan-rakan yang lain sehingga mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi dari semasa ke semasa,” jelasnya.

    Hajah Norlida turut mengongsikan beberapa aktiviti pada hari pertama yang lebih bersifat santai dalam kelas seperti bermain permainan dan menyaksikan video sebelum mendedahkan mereka dengan aktiviti-aktiviti 3M pada hari-hari seterusnya.

    Dalam pada itu, berdasarkan kenyataan daripada Kementerian Pendidikan, sebagai persediaan bagi membantu kanak-kanak untuk menyesuaikan diri dengan suasana permulaan persekolahan, Kementerian Pendidikan melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak (UPAKK) telah melaksanakan beberapa inisiatif.

    Antara inisiatif yang telah dilakukan termasuk mengadakan Program Orientasi Prasekolah Untuk Kanak-kanak Baharu Prasekolah Tahun 2023 pada bulan November lalu, Program Kemasukan dan Pendaftaran Kanak-kanak Prasekolah Secara Berperingkat-peringkat dan juga penggunaan khidmat bantuan melalui Program Penempatan Kerja Sementara Pelajar Lepasan Peringkat ‘A’ dan ‘O’ sebagai Pembantu Sukarela Guru Prasekolah pada permulaan sekolah tahun ini.

    Program tersebut antaranya bertujuan memastikan setiap pihak berkepentingan yang terlibat untuk lebih bersedia menghadapi kanak-kanak baharu prasekolah dengan memberikan pendidikan yang holistik dan seimbang.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...