Murid pra SR Beribi Telanai mulakan persekolahan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Hampir 50 orang murid pra sekolah telah pun memulakan sesi persekolahan mereka di Sekolah Rendah Beribi Telanai, di bawah Kluster 1, di sini, hari ini.

Menurut penolong guru besar sekolah berkenaan, Hajah Latipah binti Haji Ibrahim menjelaskan bahawa kemasukan murid pra ini adalah mengikut keadaan dan masa, tertakluk kepada keperluan dan tadahan yang terdapat di sekolah tersebut.

Beliau menyatakan lagi bahawa jumlah kemasukan murid pra tahun ini meningkat jika dibandingkan pada tahun lepas kerana pihak sekolah tidak mengehadkan kemasukan murid, namun terdapat beberapa kalangan murid pra ini mempunyai penempatan sementara kerana mereka akan berpindah ke Sekolah Rendah Katok B yang akan dibukakan pada bulan ini.

Penolong guru besar sekolah berkenaan ketika ditemui Media Permata.
Penolong guru besar sekolah berkenaan ketika ditemui Media Permata.

Beliau menyatakan lagi dari segi jumlah guru-guru kakitangan bagi memantau murid-murid pra adalah mencukupi, namun jumlah guru tambahan (guru relief/guru pembantu) masih lagi berkurangan.

Beliau berharap agar dapat meningkatkan lagi jumlah guru tambahan bagi sama-sama menangani murid-murid pra dalam menjaga dan memantau aspek keperluan kebajikan mereka.

Murid-murid pra ini telah dibahagikan kepada tiga kelas yang mana dalam satu kelas dapat menampung lebih 20 orang murid.