Muriel wira Atalanta kutip tiga mata

MILAN, 22 JULAI – Luis Muriel keluar dari bangku simpanan untuk menjaringkan satu-satunya gol ketika Atalanta berjaya menewaskan Bologna 1-0 dalam perlawanan sengit Serie A semalam untuk kembali ke tangga kedua di belakang pendahulu liga Juventus.

Muriel menjaringkan gol di minit ke-60 ketika Atalanta melanjutkan rekod tanpa kalah mereka ke-15 perlawanan untuk merapatkan jurang enam mata di belakang Juventus dan dua mata berada di atas Inter Milan di tempat ketiga. Atalanta telah memenangi enam perlawanan berturut-turut sejak liga kembali se-telah sekatan COVID-19 sebelum perlawanan seri 2-2 menentang Juventus dan seri 1-1 menentang Verona.

Pasukan Bergamo telah meraih 74 mata musim ini dengan berbaki tiga perlawanan untuk dimainkan merupakan rekod kejayaan terbaik mereka, di mana sebelum ini telah mengumpul 72 mata pada musim 2016-17. Jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini dilayangkan kad merah setelah bertengkar dengan rakan jurulatihnya, Sinisa Mihajlovic sebelum rehat dengan pengurus Bologna dilayangkan kad kuning.

Ia adalah kad merah kedua dalam beberapa minggu terakhir untuk Gasperini yang telah menunjukkan tanda-tanda kegelisahan sebelum pasukannya bertemu Paris Saint-Germain di Liga Juara-Juara pada perlawanan suku akhir bulan depan.

“Saya tidak patut dilayangkan kad merah,” tekan Gasperini setelah itu. “Tetapi mari kita bercakap mengenai perlawanan.” – AFP

Reaksi Luis Muriel ketika meraikan jaringan golnya semasa perlawanan Serie A antara Atalanta dan Bologna kelmarin di Stadium Atleti Azzurri d’Italia di Bergamo. – AFP