Murray berhempas pulas hingga tertidur

BEIJING, 3 OKT – Andy Murray yang keletihan berhempas pulas untuk mara ke suku akhir buat pertama kali dalam tempoh setahun dan kemudian terlena sebentar.

Bekas pemain nombor satu dunia itu menewaskan rakan senegaranya, Cameron Norrie dengan keputusan 7-6 (8/6), 6-7 (4/7), 6-1 dalam tempoh hampir tiga jam di Beijing.

Pemain berusia 32 tahun kini berada di ranking rendah, 502, bakal bermain menentang Dominic Thiem pada saingan suku akhir di Terbuka China esok.

Juara tiga kali Grand Slam itu berkata dia sempat tidur dalam tempoh masa 90 minit antara kemenangannya dan bertemu dengan para wartawan.

“Saya letih, saya baru sahaja bangun tidur sebelum ke sini. Saya sangat letih,” katanya.

Untuk menyelamatkan badannya daripada terus terkesan, Murray berkata dia mengubah taktik pada set penentuan.

“Saya membuat keputusan bahawa jika mahu menang, saya perlu mengambil beberapa risiko dengan memenangi mata dengan cepat, yang mana saya berhasil melakukannya,” tambahnya.

Kemenangan sukar ke atas pemain ranking 69 itu bermakna dia mara ke suku akhir dalam acara perseorangan Jelajah ATP buat pertama kali sejak Shenzhen pada September tahun lepas.

Murray menewaskan pemain separuh akhir Terbuka AS, Matteo Berrettini baru-baru ini bagi meraih kemenangan terbesar pertamanya sejak kembali dalam acara perseorangan di pertengahan Ogos. – AFP

Andy Murray duduk keletihan semasa bersaing di Terbuka China, Beijing. – AFP