EASTBOURNE, 26 Jun – Andy Murray menunjukkan galakkan bahawa dia mungkin bersedia untuk bersaing di Wimbledon apabila bekas pemain nombor satu dunia itu menewaskan Stan Wawrinka 6-1, 6-3 di Eastbourne kelmarin.
Murray akan beraksi dalam perlawanan kedua selepas 11 bulan tidak beraksi akibat kecederaan pinggul yang memerlukan pembedahan pada Januari lalu.
Pemain berusia 31 tahun itu tewas ketika penampilan semula semasa menentang Nick Kyrgios di Queen’s Club minggu lepas dan mendakwa selepas kekalahannya itu bahawa dia mungkin tidak cergas untuk Wimbledon.
Menjelang kejohanan Wimbledon pada 2 Julai nanti, Murray yang pernah menjuarai kejohanan itu dua kali, mengintai untuk membuktikan kecergasannya untuk All England Club.
Murray yang kini menduduki ranking ke-156 menerima kemasukan lewat ke kejohanan gelanggang rumput di Eastbourne.

Menewaskan bekas juara Grand Slam, Wawrinka dalam pusingan pertama menjadi suntikan semangat Murray di mana dia mengambil risiko untuk bersaing di Wimbledon dengan kurang latihan.
“Saya akan memutuskan nanti. Saya perlu melihat keadaan diri saya. Saya akan melihat esok dan membuat keputusan,” kata Murray mengenai prospek Wimbledon.
“Saya teruja kerana memperolehi kemenangan. Saya rasa set pertama saya beraksi dengan baik tetapi set kedua agak goyah dan saya sedikit gementar.
“Jika anda tidak beraksi untuk tempoh yang lama, anda berdepan dengan pemain seperti Stan, ia sukar. Tetapi saya gembira dengan kemenangan ini.”
Selepas mencatat kemenangan pertama sejak pusingan keempat Wimbledon tahun lepas menentang Benoit Paire, Murray akan berdepan Briton Kyle Edmund di Eastbourne esok.
Murray mengakui selepas Queen’s, dia hanya melakukan latihan selama 90 minit, berusaha keras untuk beraksi di Wimbledon. – AFP

































