Murray jinakkan Humbert di Terbuka Moselle

METZ, 22 SEPT – Bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray (gambar) bangkit dari ketinggalan satu set dan berada dalam tekanan dengan 3-3 pada set kedua untuk mengalahkan pemain pilihan keenam dari Perancis, Ugo Humbert di pusingan pertama di Terbuka Moselle di Metz, kelmarin.

Pemain kelahiran Scotland berusia 34 tahun itu memenangi tujuh perlawanan berturut-turut untuk mencatat kebangkitan 4-6, 6-3, 6-2, dalam perlawanan yang berlangsung selama dua jam 24 minit.

“Saya mempunyai peluang pada awal perlawanan di set pertama dan gagal merebutnya, kemudian dia meraih mata perlawanan pada penghujung set pertama dan membalas pukulan dengan baik,” kata Murray.

“Dia kemudian berjaya mempertahankan kedudukan 5-4. Dia bermain dengan lebih baik namun pada set kedua dan ketiga, permainan berubah.

“Dia tidak bermain dengan baik apabila mempunyai peluang dan saya memanfaatkan peluang saya.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan, saya tidak tahu sama ada saya mengenali beberapa orang pemain yang bermain dengan baik dan sukar untuk bermain menentang mereka dan menang. Hari ini, saya merasakan saya bermain dengan baik dan berjaya memenanginya.”

Murray merupakan pemain wildcard, yang membuat kemunculan pertama di Metz sejak tewas di tangan Tommy Robredo dalam aksi final pada 2007, akan bertemu pemain Kanada, Vasek Pospisil di pusingan kedua.

Dalam perlawanan berasingan, pemain pilihan ketujuh, Karen Khachanov hanya gagal dalam empat mata pukulan servis pertama (39/43) dan membuat 11 pukulan ace untuk menewaskan pemain kelayakan dari Perancis, Alexandre Muller, 4-6, 6-1, 6-3 dan akan meneruskan kejohanan dengan bermain menentang pemenang antara pemain kelayakan dari Jerman, Peter Gojowczyk dan Antoine Hoang dari Perancis.- AFP