Murray sertai kejohanan pemanas badan Terbuka AS

NEW YORK, 4 OGOS – Juara tiga kali Grand Slam, Andy Murray, adalah antara empat orang pemain yang akan menyertai Terbuka Western & Southern, menurut penganjur kelmarin.

Bekas juara Terbuka Wimbledon dan AS, Murray telah diberikan slot bersama dengan pemain Amerika Syarikat, Tennys Sandgren dan Frances Tiafoe bagi kejohanan itu, sebagai kejohanan pemanas badan sebelum Grand Slam di New York yang bermula pada 31 Ogos nanti.

Terbuka Western & Southern selalunya diadakan di Cincinnati tetapi telah dipindahkan ke New York untuk mengurangkan risiko COVID-19 bagi pemain yang membuat perjalanan untuk beraksi di Flushing Meadows.

Murray merupakan pemenang di Cincinnati pada 2008 dan 2011, menjadikan dia salah seorang dari enam pemain bekas juara yang menyertai kejohanan itu tahun ini termasuk Daniil Medvedev, Novak Djokovic, Grigor Dimitrov, Marin Cilic dan Rafael Nadal.

Ini merupakan penampilan pertama Murray dalam Jelajah ATP 2020, di mana pemain Scotland berusia 33 tahun itu menjalani pembedahan pada bahagian pinggul dan tidak beraksi dalam kejohanan rasmi sejak Piala Davis tahun lalu.

Kejohanan ini akan dilangsungkan pada 20 hingga 28 Ogos di Pusat Tenis Kebangsaan USTA Billie Jean King di New York. – AFP

Andy Murray akan menyertai Terbuka Western & Southern sebagai kejohanan pemanas badan sebelum Grand Slam di New York. – AFP