Murray: Sertai Queen’s sehingga bersara

LONDON, 12 Jan – Pemain nombor satu dunia perseorangan lelaki, Andy Murray bersetuju untuk menyertai aksi pemanas badan Wimbledon di Queen’s Club untuk sepanjang kerjayanya.

Murray menjadi pemain pertama dinobatkan sebagai raja Queen’s sebanyak lima kali apabila menewaskan Milos Raonic dalam aksi final tahun lalu.

Beberapa minggu selepas itu, pemain Scotland berkenaan sekali lagi menewaskan Raonic apabila menjulang kejuaraan Wimbledon buat kali kedua.

Murray menikmati banyak kegemilangan di barat London dan dia memutuskan untuk terus memberikan komitmen untuk beraksi dalam kejohanan itu sehingga bersara.

“Saya sentiasa gemar untuk beraksi dalam kejohanan ini dan saya sangat gembira kerana mengetahui bahawa saya akan bermain di Queen’s sepanjang kerjaya saya,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

“Saya memenangi perlawanan Jelajah Dunia ATP pertama saya di Queen’s pada 2005, jadi setakat ini ia menjadi kejohanan paling berjaya dalam kerjaya saya.

“Melihat kepada nama yang pernah memenangi kejohanan ini sebanyak empat kali, ada antaranya pemain terhebat, memenanginya sebanyak lima kali, sudah tentu ia memberi banyak makna buat saya.”

Queen’s Club sudah melakukan usaha meningkatkan kapasiti gelanggang tengahnya kepada 9,000 untuk kejohanan tahun ini, selepas menerima maklum balas populariti yang semakin meningkat.

Kejohanan itu dijadual berlangsung pada 19 hingga 25 Jun ini. – AFP