PARIS, 12 SEPT – Dengan Terbuka AS, yang merupakan kejohanan utama terakhir tahun ini, bakal berlangsung, pentas sudah tersedia untuk Piala Davis yang memasuki peringkat kumpulan 16 pasukan akhir yang diadakan di empat lokasi, hari ini.
Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan peringkat pusingan yang akan dihoskan di Bologna, Manchester, Valencia dan Split akan melangkah ke pusingan kalah mati di Sepanyol pada November.
Masih belum pasti sama ada juara Terbuka AS yang baru dinobatkan, Novak Djokovic akan bermain untuk Serbia minggu ini walaupun dia dijadualkan akan muncul di Valencia tetapi akan ada beberapa nama besar yang akan beraksi, terutamanya bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray yang berada dalam pasukan Great Britain yang akan menjadi tuan rumah bagi kumpulan di Manchester.
Namun, pemain nombor dua dunia, Carlos Al-caraz, telah diketepikan daripada pasukan Sepanyol selepas tersingkir di separuh akhir di Flushing Meadows.
“Saya bercakap dengan dia dan pasukannya sepanjang Terbuka AS,” kata kapten Sepanyol, David Ferrer.
“Saya berada di sana dan menonton kebanyakan perlawanannya, tetapi memang benar bahawa dia merasa sangat letih, dengan beberapa masalah fizikal.”
Tanpa kehadiran Rafael Nadal, Sepanyol sebaliknya akan diketuai oleh Alejandro Davidovich, yang kini menduduki tempat ke-25 dunia.
Bagaimanapun, Kanada akan menggunakan pengalaman Denis Shapovalov dan Vasek Pospisil, yang menduduki tempat pertama dalam Piala Davis, setelah memenangi gelaran pertama mereka tahun lalu. – AFP
