Murray tak sanggup

MELBOURNE, 11 Jan – Andy Murray berada dalam kesedihan apabila mengumumkan akan bersara tahun ini berikutan kesakitan yang dialami pada pinggulnya, dengan berkata saingan Terbuka Australia yang bermula minggu depan sebagai saingan terakhir kerjayanya.

Bekas pemain nombor satu dunia dan juara Grand Slam tiga kali itu menangis pada sidang media yang diadakan di Melbourne dengan berkata tidak dapat menahan kesakitan yang dialaminya ketika ini.

“Saya boleh beraksi dengan terhad. Tetapi dengan situasi dan kesakitan yang dialami tidak membenarkan saya menikmati persaingan atau latihan,” ujar pemain dari Scotland itu.

Dengan gelaran ‘Sir Andy’, 31, dia berkata mahu mengakhiri saingan Grand Slam di Wimbledon, namun mengakui dia mungkin tidak akan mampu melangkah begitu jauh.

Dia akan dikenang sebagai pemain Britain pertama yang memenangi kejuaraan Wimbledon dalam tempoh 77 tahun dan sebagai seorang pemain yang bekerja keras untuk kekal di kedudukan teratas dalam era keemasan selain Roger Federer, Novak Djokovic dan Rafael Nadal.

“Wimbledon adalah di mana saya mahu berhenti beraksi, tetapi saya tidak pasti boleh melakukannya,” katanya.

“Saya telah bergelut buat tempoh yang lama. Saya tidak pasti sekiranya boleh beraksi dengan kesakitan ini bagi tempoh empat atau lima bulan lagi. Banyak perkara yang perlu dilakukan di mana saya mencuba dan mengharapkan pinggul saya dalam keadaan yang lebih baik namun ia tidak membantu.”

Murray menarik diri daripada Terbuka Australia tahun lepas untuk menjalani pembedahan pinggul dan hanya kembali pada Jun lalu di Queen’s Club di London.

Pemain itu telah menamatkan musimnya di Shenzhen pada September lalu selepas muncul untuk mengembalikan tumpuannya cergas sepenuhnya. – AFP

Reaksi Murray ketika menjawab persoalan semasa menghadiri sidang media yang diadakan di Melbourne, Australia, kelmarin. – AP