Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Muruku laris menjelang Thaipusam, Tahun Baharu Cina

    TASEK GELUGOR – Menjelang musim perayaan, keluarga Khalibu sememangnya sibuk menyiapkan tempahan muruku daripada pelbagai lapisan masyarakat.

    Sempena perayaan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi, Pengarah Urusan Khabilu Manufacturing Sdn Bhd Hakimullah Khabilu, 28, berkata pihaknya menerima banyak tempahan makanan ringan itu daripada individu, kelab, persatuan malah syarikat besar.

    Beliau berkata perniagaan turun-temurun itu diasaskan sejak 56 tahun lepas oleh datuknya, M.Shamsudin Ali Mohamed yang merupakan seorang pedagang dari Ramanathapuram, India.

    “Dengan menggunakan resepi asli, datuk kami mula berniaga kekacang dan muruku menggunakan kereta tolak roda tiga di panggung wayang Capitol di George Town. Jualan kemudian dikembangkan ke beberapa panggung wayang lain di bandar raya itu dan dari situ datuk saya melihat semua lapisan masyarakat membeli makanan ringan ini.

    “Tiada lagi istilah muruku sebagai makanan khas satu kaum. Kini, setiap kali musim perayaan di Malaysia, syarikat kami menerima tempahan muruku daripada setiap lapisan masyarakat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya di sini baru-baru ini.

    Ahmad Tahbranni melakukan proses menghasilkan muruku. – Bernama
    Pengarah Urusan Khabilu Manufacturing Sdn Bhd, Hakimullah Khabilu (kanan) bersama Ketua Eksekutif Pemasaran Ahmad Tahbranni menunjukkan muruku yang telah dibungkus ketika ditemui baru-baru ini. – Bernama

    Hakimullah dan adik-adiknya, Ahmad Tahbranni, 26, Kabirul, 19, dan Muhamad Shamsudin,17, telah dilatih sejak kecil untuk mewarisi perniagaan keluarga. 

    Ahmad Tahbranni yang merupakan Ketua Eksekutif Pemasaran berkata sejak kecil beliau dan adik-beradiknya telah diajar memasak, membungkus, menghantar pesanan malah turut mengikut bapa mereka menjual muruku dan kekacang di pasar pagi, pasar malam dan kedai-kedai yang disewa.

    “Ayah memastikan kami belajar dari proses pembuatan hingga jualan. Saya dan abang wajib membantu ayah berniaga di Rope Walk sejak dari zaman sekolah dan kini saya mempunyai cawangan sendiri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

    Sekarang giliran dua adik saya pula membantu ayah kerana ia proses pembelajaran wajib bagi meneruskan legasi perniagaan ini,” katanya.

    Beliau berkata penghasilan muruku dan kekacang di kilang hanya bermula sejak dua tahun lepas kerana sebelum ini semua proses tersebut dilakukan di rumah mereka di Ayer Itam dekat sini.

    “Kami tidak menyangka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kami menghasilkan 20 tan muruku dalam masa seminggu dan ia mencatat sejarah tersendiri sejak perniagaan ini diusahakan,” katanya dengan menambah kilang mereka ketika ini mampu menghasilkan satu tan muruku dalam masa sehari untuk memenuhi permintaan pelanggan.

    Menurut Ahmad Tahbranni, perniagaan keluarganya telah menembusi pasaran luar negara dengan mengeksport muruku ke Dubai pada tahun lepas dan mereka merancang untuk mengembangkan pasaran muruku buatan Malaysia ke seluruh dunia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...