Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Musa Barrow muncul wira buat Gambia

    BAFOUSSAM, CAMEROON, 25 JAN – Penyerang Gambia, Musa Barrow berjaya menjaringkan gol pada minit ke-71 untuk membawa Gambia, pasukan ranking paling bawah di Piala Negara-Negara Afrika, mara ke pusingan suku akhir kelmarin selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Guinea di Bafoussam.

    Gambia kini bakal berdepan dengan tuan rumah, Cameroon dalam saingan peringkat suku akhir di Douala pada Sabtu nanti.

    Musa Barrow berjaya menjaringkan gol dari jarak dekat untuk menamatkan kebuntuan dalam perlawanan kelompok 16 terakhir di Stade Kouekong yang dikuasai oleh pertahanan pasukan lawan.

    Kedua-dua pasukan telah menamatkan perlawanan dengan 10 pemain dengan pemain Gambia, Yusupha Njie dibuang padang pada minit ke-88 dan pemain Guinea, Ibrahima Conte dilayangkan kad merah pada masa tambahan.

    “Kami tidak mempunyai perasaan yang baik tentang hari ini kerana ramai di antara kami mengalami keracunan makanan, termasuk saya.

    Saya tidak dapat tidur, berada di tandas sepanjang masa, muntah dan cirit-birit,” kata jurulatih Gambia, Tom Saintfiet.

    “Mereka adalah hero saya. Ini adalah pasukan sebenar, mereka tidak berseorangan tetapi sebagai satu pasukan yang bermain bersama, dengan matlamat, memiliki strategi, dan masing-masing memiliki disiplin serta melakukan apa sahaja untuk mencapainya.”

    Gambia terpaksa menukar kedua-dua bek sayap sebelum perlawanan bermula apabila Ibou Touray dan Saidy Janko diketepikan akibat keracunan makanan.

    Dawda Ngum dan pemain veteran, Pa Modou Jagne masing-masing telah disenaraikan dalam barisan permulaan untuk perlawanan penting dalam sejarah bola sepak Gambia.

    Ini merupakan kali kedua berturut-turut Guinea tersingkir di peringkat 16 terakhir.- AFP

    Reaksi Musa Barrow meraikan gol pertama pasukannya semasa perlawanan pusingan 16 Piala Negara-Negara Afrika 2021 antara Guinea dan Gambia di Stade de Kouekong di Bafoussam, 24 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...