Musabaqah dewasa peringkat separuh akhir bermula

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 40 orang qari dan 13 qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1443H/2022M yang akan berjalan selama tiga hari bermula esok.

Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), sebagai langkah-langkah pengawalan penularan wabak COVID-19, pertandingan akan dilaksanakan di dalam dewan secara tertutup di Tingkat 2, Dewan Melor, Bangunan KHEU dengan kehadiran peserta secara berjadual di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan.

Bagi memberi peluang orang ramai mengikuti musabaqah berkenaan, pihak jawatankuasa akan menyiarkan pertandingan tersebut secara langsung melalui akaun Instagram rasmi KHEU iaitu @kheu.brunei dan secara lintas langsung melalui radio menerusi rangkaian radio Nur Islam FM.

Sementara itu, majlis pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para peserta dan hakim pula akan berlangsung pada 25 November di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan KHEU yang juga akan disiarkan secara langsung melalui rangkaian radio Nur Islam FM, Radio Televisyen Brunei.

Kenyataan menyatakan bahawa penganjuran musabaqah berkenaan yang merupakan projek tahunan KHEU, dihasratkan agar dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah negara ini dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran mereka, di samping membuka minda dan minat masyarakat dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur.

Ia dihasratkan akan menjadi titik tolak bagi memajukan dan mengembangkan lagi bidang Al-Quran dan seterusnya mendorong masyarakat ke arah celik ilmu-ilmu Al-Quran dan juga sebagai wadah dan zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah, doa bagi memohon kepadaNya serta peringatan supaya jauh daripada kelalaian.