Musabaqah peringkat akhir Februari ini

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Enam orang qari dan enam qariah akan bertanding pada Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440H/2019M yang dijangka diadakan pada Februari depan setelah pemilihan peringkat separuh akhir yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 Januari lalu.

Majlis pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah bagi peringkat separuh akhir telah diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para peserta dan hakim ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Qari-qari yang mara ke peringkat akhir ialah Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya, Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, Haji Mohd Albi bin Haji Ibrahim, Haji Hazwan bin Haji Salim dan Awang Mohammad bin Ali serta peserta menunggu, Haji Muhd Fikri bin Haji Awang Metussin yang merupakan juara qari tahun lalu.

Peserta qariah pula terdiri daripada Dayang Zahrina binti Abdul Wahab, Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri dan Dayangku Amal Nazirah binti Pengiran Haji Jofri serta Hajah Nurfaezah binti Haji Emran selaku peserta menunggu.

Pertandingan yang membawa tema ‘Memperkasa Pembelajaran Al-Quran’ itu telah disertai oleh seramai 56 orang peserta dengan 21 qari dan lima qariah melayakkan diri daripada peringkat daerah dan masjid seluruh negara.

Turut hadir pada majlis yang diungkayahkan bersama oleh Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan sijil kepada para peserta musabaqah.