Musabaqah pilih wakil negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid akan mengendalikan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa sebagai pemilihan awal bagi mencari wakil qari dan qariah yang akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia.

Musabaqah berkenaan dikendalikan dengan kerjasama Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEU, syarat kelayakan bagi menyertai musabaqah tersebut termasuk rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (pemegang kad pengenalan warna kuning), beragama Islam dan bermazhab Syafiee aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu, peserta hendaklah berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun semasa mendaftar.

Kenyataan menyatakan, pemilihan awal peringkat zon, daerah atau masjid akan diadakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kemudian.

Borang-borang penyertaan telah diedarkan dan boleh didapati di Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, pejabat hal ehwal masjid di keempat-empat daerah. Borang yang telah lengkap hendaklah dihantar tidak lewat 14 September, jam 4 petang.