Musabaqah separuh akhir bermula

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Seramai 17 orang qari dan enam qariah memperdengarkan bacaan mereka pada hari pertama Musabaqah Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan tahun ini yang berlangsung di Dewan Melor, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.

Musabaqah peringkat akhir berkenaan akan berlangsung selama dua hari di mana secara keseluruhannya seramai 41 orang akan memperdengarkan bacaan Al-Quran.

Para peserta terdiri daripada qari dan qariah yang berjaya melalui musabaqah peringkat daerah seluruh negara yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Mariam, Jerudong pada Ogos lalu.

Manakala itu, 10 orang daripadanya terdiri daripada peserta Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi pada tahun lalu.

Musabaqah berkenaan merupakan projek tahunan KHEU yang dihasratkan dapat memajukan dan mengembangkan bidang Al-Quran selain mendorong masyarakat ke arah celik Al-Quran sebagai wadah dan zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah, doa untuk memohon kepada-Nya serta peringatan supaya jauh daripada kelalaian.

Ia juga merupakan laluan permulaan dan medan untuk para qari dan qariah negara melangkah ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Penganjuran musabaqah berkenaan juga dihasrat dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah negara ini dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran mereka di samping membuka minda dan minat masyarakat berjinak-jinak dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur.

Majlis pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah dan cenderamata akan diadakan pada 10 September ini di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, KHEU.

Sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak COVID 19 di negara ini, urus setia musabaqah menyiarkan peringkat separuh akhir kebangsaan kali ini siaran langsung melalui Instagram (@kheu.brunei).

Salah seorang qariah memperdengarkan bacaan pada Musabaqah Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan, kelmarin.
Antara jemputan yang hadir mendengarkan bacaan pada hari pertama Musabaqah Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan di KHEU, kelmarin.