Musang King datang lagi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Musim durian tahun ini pasti lebih meriah dengan kemunculan semula Musang King Pahang yang dibawakan oleh penjaja tempatan Pasar Pelbagai Barangan Gadong untuk memenuhi selera penggemar raja buah itu di negara ini.

“Musang King yang rasanya sungguh istimewa dan sukar untuk dijelaskan adalah antara jenis durian paling menjadi sebutan peminat buah berkenaan,” ujar Dayang Mimi binti Abdul Hamid, salah seorang penjaja yang menjual durian di pasar berkenaan.

Beliau berkata, bagi penggemar durian, kemunculan Musang King memang amat dinanti-nantikan dan untuk mencari buah yang bagus, berlemak dan rasa yang sangat kuat, ia sememangnya sukar.

“Insya Allah, bekalan Durian Musang King diharap mencukupi musim ini. Dengan harga yang berpatutan, semua pelanggan boleh menikmatinya, bergantung kepada saiznya,” kata suami Dayang Mimi, Awang Ariffin bin Haji Tuah.

“Kami menempah lebih banyak Musang King tahun ini termasuk pelbagai jenis durian segar dan berkualiti tempatan seperti durian kawin, durian campur dan banyak lagi,” tambah beliau.

Durian Musang King antara tumpuan pembeli di Pasar Pelbagai Barangan Gadong.