MUNICH, 10 JAN – Bayern Munich mungkin berdepan kehilangan pemain penyerang tengah, Jamal Musiala, dalam perlawanan pertamanya tahun ini selepas dia mengalami selesema.
Bayern kelmarin berkata Musiala perlu berehat buat sementara waktu dan tidak dapat berlatih dengan pasukan sebelum menentang Borussia Moenchengladbach esok dalam Bundesliga.
Musiala mencatat 14 gol dan enam assist dalam 22 perlawanan pada semua pertandingan untuk Bayern musim ini.
Sembilan jaringannya mengekalkannya di tangga keempat tertinggi dalam Bundesliga.
Sementara itu, belum dapat dipastikan siapa yang akan menjadi penjaga gawang esok setelah Daniel Peretz mengalami kecederaan buah pinggang semasa latihan Rabu lalu.
Peretz menggantikan Manuel Neuer yang cedera sebelum cuti musim sejuk selepas pulih daripada mengalami patah tulang rusuk.
Peretz juga diturunkan dalam kemenangan persahabatan 6-0 ke atas kelab Austria, Salzburg Isnin lalu, ketika Neuer tiada dalam skuad. Penjaga gol simpanan, Sven Ulreich, adalah antara yang menjadi pilihan.
Bayern mendahului Bundesliga dengan empat mata daripada juara musim lalu Bayer Leverkusen, yang bermain di Borussia Dortmund, hari ini. – AP