Musim 2017 Djokovic berakhir

BELGRADE, 27 Julai – Juara Grand Slam sebanyak 12 kali, Novak Djokovic akan terlepas baki musim ini kerana mengalami kecederaan siku, dia mengumumkan semalam.

Pemain dari Serb berusia 30 tahun itu terpaksa menarik diri dari persaingan suku akhir Wimbledon menentang Tomas Berdych awal bulan ini kerana masalah tersebut, dan sekarang tidak akan beraksi dalam Terbuka AS pada bulan depan.

Dalam satu kenyataan secara langsung menerusi Facebook dari Belgrade, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata selepas mengalami kecederaan selama setahun setengah, dia telah ‘membuat keputusan untuk tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan” bagi baki musim 2017.

“Malangnya ini adalah keputusan yang perlu dilakukan ketika ini. Wimbledon adalah kejohanan yang paling sukar bagi saya dari segi merasakan kesakitan yang berterusan,” katanya.

Sejak memenangi Terbuka Perancis pada tahun lepas untuk melengkapkan kerjaya Grand Slam, dia gagal untuk memenangi gelaran lain.

Dia tersingkir dari Terbuka Australia pada pusingan kedua dan suku akhir di Terbuka Perancis.

Djokovic berkata, setelah bercakap dengan para pakar perubatan, “mereka semua bersetuju saya perlu berehat, saya memerlukan masa”.

“Ini adalah salah satu dari kecederaan tersebut apabila tidak ada yang dapat membantu dengan segera, anda hanya perlu membenarkan pemulihan secara semula jadi,” jelasnya. – AFP