Musim bunga paling kering di Australia

SYDNEY, 2 DIS – Musim bunga di Australia kali ini mencatatkan cuaca paling kering untuk tempoh 120 tahun, lapor agensi berita Xinhua memetik Biro Meteorologi (BoM) negara itu hari ini.

Menurut BoM kebanyakan negeri di Australia menerima jumlah hujan yang jauh di bawah purata dengan kebanyakan negeri mengalami cuaca paling kering dalam sejarah.

Musim bunga 2019 mencatatkan rekod cuaca terpanas di Australia dengan suhu tertinggi pada 47.1 darjah Celsius, yang direkodkan pada pertengahan November di Australia Barat.

“Curah hujan untuk musim bunga di sebahagian besar Australia rata-rata berada di bawah paras sepatutnya dan secara keseluruhan mencatatkan rekod musim paling kering.

“Jumlah curahan hujan yang sedikit serta berpanjangan di timur Australia memberi impak besar kepada komuniti dan alam sekitar,” kata laporan itu.

Rekod cuaca panas dan kering menjejaskan ramai penduduk di kawasan pertanian luar bandar terutamanya di tempat yang sukar mendapat bekalan air dan mendorong catuan dikenakan. – Bernama