Musim EuroLeague dibatalkan kerana COVID-19

PARIS, 26 MEI – EuroLeague pada musim ini telah pun dibatalkan disebabkan pandemik koronavirus, umum pertandingan bola keranjang terkenal Eropah semalam.

“Setelah meninjau setiap opsyen mungkin, Lembaga Eksekutif telah membuat keputusan untuk membatalkan EuroLeague Turkish Airlines 2019-20,” kata organisasi dalam satu kenyataan.

EuroLeague berkata tidak ada pasukan yang akan diumumkan pemenang dalam pertandingan 2019-20. Ia memetik ‘pihak berkuasa tempatan mengenakan sekatan berlainan ke atas pergerakan rakyat mereka’ dan protokol perubatan yang mewajibkan pengasingan untuk mana-mana pemain, jurulatih atau pengadil yang dijangkiti COVID-19 sebagai beberapa sebab untuk membatalkan musim.

“Tanpa diragui, ia merupakan keputusan paling sukar yang kami ambil dalam sejarah 20 tahun kami. Disebabkan situasi di luar kawalan kami, kami terpaksa memendekkan musim paling berjaya dan menyeronokkan dalam sejarah bola keranjang Eropah,” kata Presiden dan CEO EuroLeague Jordi Bertomeu.

Terdapat enam pusingan perlawanan musim tetap yang perlu diadakan apabila musim digantung pada Mac.

EuroLeague pada mulanya merancang mengakhiri pertandingan pada Julai tetapi badan itu berkata ‘dalam tempoh dua setengah bulan lalu, jaminan bahawa pertandingan mungkin berakhir pada Julai belum diperoleh.’ – AFP

Aksi Vasilije Micic dari Efes Istanbul, melompat menerusi pemain pertahanan Albas Jonas Mattisseck (kiri) dan Luke Sikma semasa perlawanan bola keranjang EuroLeague di Arena Mercedes-Benz di Berlin, Jerman pada 27 Februari. – AP