Musim Serie A tertangguh lagi

MILAN, 24 APRIL – Ketua bola sepak Itali kelmarin mengumumkan bahawa musim penghujung Serie A akan ditunda dari 30 Jun kepada 2 Ogos bagi menghabiskan musim yang telah digantung di tengah-tengah pandemik koronavirus.

Presiden persatuan, Gabriele Gravina berkata bahawa FIGC akan ‘mengambil resolusi dalam beberapa jam yang akan datang untuk menunda penghujung musim sukan 2019/2020 kepada 2 Ogos’.

Tiada sebarang perlawanan sukan telah diadakan di Itali sejak 9 Mac dengan negara tersebut bergelut dengan krisis COVID-19 yang telah mengorbankan lebih dari 25,000 orang.

“Dunia bola sepak sedang berusaha tanpa henti dan bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian jelas dan mampan untuk krisis yang ditimbulkan oleh COVID-19 termasuk yang perlu dan sangat diperlukan untuk melindungi kejohanan 2020-2021,” kata Gravina.

Sebanyak 20 buah kelab Serie A pada Selasa lalu mengundi sebulat suara untuk menghabiskan liga pada musim ini, tetapi keputusan akhir akan terpulang kepada kerajaan Itali.

Persatuan tersebut berharap kelab-kelab boleh mula melakukan latihan dari 4 Mei, tarikh yang dirancang oleh kerajaan untuk mula mengurangkan langkah-langkah pembendungan.

Di Jerman, Bundesliga bersedia untuk kembali semula untuk bermain tanpa peminat pada 9 Mei, menjadikannya liga Eropah pertama untuk kembali memulakan perlawanan, tetapi keputusan terakhir untuk memulakannya tergantung ketua politik.

Badan pengurusan bola sepak Eropah, UEFA kelmarin memberikan peluang untuk liga-liga bagi menamatkan musim mereka dan berkata kelayakan untuk Liga Juara-Juara musim hadapan sepatutnya ‘berdasarkan merit sukan’. – AFP