Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musim tengkujuh dijangka bermula 5 Nov

    KUALA LUMPUR, 1 NOV – Monsun Timur Laut (MTL) atau lebih dikenali musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 5 November dan berterusan sehingga Mac 2025 kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

    Beliau dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dalam tempoh berkenaan, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku.

    “Semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

    “Manakala pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalan di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah,” katanya.

    Bagaimanapun, Mohd Hisham berkata sekiranya luluran monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain.

    Orang ramai menggunakan payung berikutan hujan lebat ketika tinjauan di Brickfields pada 28 Oktober. – Bernama

    Beliau berkata keadaan hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari itu, boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

    Mohd Hisham berkata sekiranya hujan lebat berterusan berlaku secara serentak dengan kejadian air pasang besar and luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih
    ekstrem.

    Selain itu, katanya tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

    “Menjelang pada fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac 2025, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan.

    “Keadaan ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba,” katanya.

    Bagaimanapun, Mohd Hisham berkata keadaan itu diramalkan tidak seteruk seperti tahun 2024 disebabkan fenomena La Nina dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun hadapan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda