Musim terbaik – Pochettino

LONDON, 14 Mei – Mauricio Pochettino berkata memenangi Liga Juara-Juara akan mengubah ‘persepsi’ terhadap Tottenham Hotspur dan memberikan penamat musim yang luar biasa dalam apa yang dianggapnya sebagai musim terbaik dalam tempoh lima tahunnya sebagai pengurus Spurs.

Pengurus berusia 47 tahun itu, yang berkata dia mungkin meninggalkan kelab sekiranya Spurs gagal menyediakan cetakan biru bagi mengekalkan mereka kompetitif dengan pasukan teratas lain, diberikan pujian atas gaya permainan pasukannya dan kebolehannya dalam mengembangkan bakat-bakat muda. Namun dia masih belum menjulang sebarang trofi.

Kekurangan dalam CVnya itu boleh terisi dengan menewaskan Liverpool pada 2 Jun di Madrid. Namun cuba menewaskan finalis Liga Juara-Juara dan pemenang kedua Liga Perdana musim lepas bukanlah tugas yang mudah. Tetapi sejarah membuktikannya, kata Pochettino.

“Saya fikir kami boleh mencipta sejarah,” katanya selepas pasukannya seri 2-2 dengan Everton, sekali gus mengesahkan Spurs bagi slot Liga Juara-Juara musim depan dengan menamatkan di kedudukan keempat.

“Kami sedang mencipta sejarah kerana kami sedang melakukannya, tetapi jika kami menang, kami akan mencipta sejarah dan mengubah persepsi terhadap kelab yang hebat ini.

“Setentunya kelab dan para penyokong serta kita semua perlu fokus bagaimana untuk memenangi final itu.

“Ini adalah objektif utama, tiada objektif lain.”

Pochettino berkata ini adalah musim terbaik mereka, sejak dia tiba dari Southampton.

Mara ke final Liga Juara-Juara dan layak bagi kempen musim depan sudah tercapai, jelasnya, di mana mereka mengatasi kekurangan selepas tidak membawa masuk pemain baharu sama ada semasa musim panas atau ketika jendela perpindahan pada Januari. – AFP

Mauricio Pochettino (tengah) dan pemain-pemain Spurs meraikan kemaraan pasukan itu ke final Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan Ajax. – AFP