SAN FRANCISCO, 19 Sept – Tesla mengesahkan semalam bahawa pegawai Jabatan keadilan Amerika Syarikat (AS) sedang menimbang aspek jenayah dalam pengumuman spontan dan yang digugurkan kemudian oleh ketua eksekutifnya, Elon Musk (gambar) mengenai hasrat untuk menswastakan syarikat pengeluar kereta elektrik tersebut.
Saham merosot tatkala berita tersebar mengenai siasatan jenayah yang dicetuskan oleh komen Musk di Twitter. Saham Tesla mengakhiri hari perniagaan formal di Nasdaq dengan kemerosotan 3.35 peratus kepada AS$284.96. Tesla berkata ia yakin perkara itu akan diselesaikan dengan segera oleh Jabatan Keadilan.
“Pada bulan lalu, ekoran pengumuman Elon bahawa dia sedang menimbang untuk menswastakan syarikat, Tesla menerima permohonan meminta dokumen daripada Jabatan Keadilan dan telah memberikan kerjasama,” kata syarikat yang berpangkalan di California itu.
“Kami masih belum menerima sepina, satu permohonan bagi keterangan, atau mana-mana proses formal lain.”
Satu tindakan guaman yang difailkan pada awal bulan ini menuduh Musk berusaha ‘membakar’ penjual komoditi yang tidak dimiliki oleh mereka dengan menulis di Twitter bahawa pembiayaan telah pun diluluskan untuk menswastakan pengeluar kereta elektrik itu.
Musk mengejutkan pasaran pada 7 Ogos lalu dengan mengumumkan di Twitter bahawa dia mahu menswastakan Tesla pada AS$420 sesaham, menyebabkan harga saham meningkat. Penjual komoditi membuat pertaruhan ke atas kemerosotan harga saham.
Biasanya pengumuman yang besar sedemikian akan dijelaskan secara terperinci terlebih dahulu kepada pengatur selia.
Musk telah mengelak daripada membincangkan berita penswastaan tersebut, berkata syarikat akan terus menjalankan perniagaan awam.
Pengawal selia pasaran AS juga sedang meneliti apa yang telah berlaku. Beberapa eksekutif telah meninggalkan Tesla baru-baru ini. Syarikat itu berkata pada minggu lalu bahawa eksekutif kewangan Justin McAnear telah meninggalkan Tesla tatkala syarikat itu berusaha untuk menjadi syarikat menguntungkan pada akhir tahun.
Desas-desus mengatakan McAnear akan meninggalkan syarikat menyusuli pemergian ketua pegawai perakaunan Dave Morton selepas memegang jawatan tersebut selama sebulan, memetik permintaan tugasan syarikat yang tinggi.
Jawatan Morton yang singkat dengan syarikat itu berlaku serentak dengan usaha penswastaan yang digugurkan. – AFP