Musk gesa cepatkan pengeluaran Model 3

SAN FRANCISCO, 15 Mei – Ketua Tesla, Elon Musk semalam memberitahu para kakitangan bahawa pengeluar kereta elektrik itu sedang disusun semula untuk mempercepatkan pengeluaran kenderaan Model 3, yang penting bagi keberuntungan firma yang pesat berkembang itu.

“Untuk memastikan bahawa Tesla cukup bersedia bagi masa hadapan, kami telah melaksanakan penyusunan semula syarikat kita,” menurut memo yang diperoleh AFP.

“Sebagai sebahagian penyusunan semula, kami meratakan struktur pengurusan untuk meningkatkan lagi perhubungan, menggabungkan fungsi-fungsi yang sesuai dan mengurangkan kegiatan yang tidak penting bagi kejayaan misi kita.”

Musk menyatakan bahawa Tesla bercadang mengambil pekerja bagi jawatan-jawatan pengeluaran yang penting.

Ketika penjelasan perolehan awal bulan ini, Musk berkata Tesla bakal mencapai matlamat dalam bulan-bulan mendatang bagi Model 3 yang lebih berkualiti mampu milik dan mencapai keuntungan menjelang akhir tahun ini.

Gambar fail yang diambil pada 19 Julai 2017 menunjukkan Elon Musk, CEO kepada SpaceX dan Tesla berucap semasa satu sesi persidangan di Hotel Omni Shoreham di Washington, DC. – AFP

“Kami akan menjalankan penyusunan, penstrukturan semula syarikat bulan ini dan memastikan kami dapat mencapai matlamat kami,” kata Musk.

Sesetengah daripada eksekutif Tesla digugurkan hanya sebulan selepas memo dalaman menawarkan cadangan produktiviti yang termasuk melangkaui rantaian arahan untuk lebih cekap.

“Mana-mana pengurus yang cuba menguatkuasakan rangkaian komunikasi akan segera mendapati mereka bekerja di tempat lain,” kata Musk dalam e-mel kepada pekerja yang dikongsi oleh penganalisis Global Equities Research, Chowdhry.

Dalam e-mel itu, Musk mengecam mesyuarat yang berlebihan sebagai perosak dan menasihatkan para pekerja mengelakkannya jika ia tidak memberikan sebarang sumbangan.

Chowdhry berkata dalam penganalisisnya kelmarin bahawa Tesla meningkatkan kadar pengeluaran Model 3, dan ia mempunyai banyak kaitan dengan Elon Musk yang bekerja keras selama hampir dua minggu. – AFP