Friday, October 11, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Musnahnya tasik popular di Chile

    PAINE, Chile – Dahulunya, sekumpulan lembu-lembu dan kuda-kuda terlihat memakan rumput-rampai terakhir di sana. Kini hanya tinggal tulangnya sahaja kelihatan bertaburan di retakan buminya, iaitu mangsa kemarau yang telah melenyapkan taman permainan hujung minggu Tasik Aculeo dari peta.

    Ketiadaan Tasik Aculeo ini berlaku secara tiba-tiba seperti seseorang telah menarik palam gergasi dan membiarkan semua air keluar.

    Ianya berlaku secara tiba-tiba di mana pada tahun 2011 baru-baru ini, lagun berkeluasan 4.6 batu persegi (12 kilometer persegi) itu adalah tempat percutian hujung minggu bagi penduduk ibu kota Chile, berada satu jam jauhnya.

    Beribu-ribu orang datang ke sana untuk berenang, bermain ski air, belayar atau menyejukkan diri pada musim panas selatan yang panjang. Mereka akan melakukun perkhemahan di sepanjang pesisirnya dan terlihat beratur panjang dan penuh sesak dengan orang ramai di restoran-restoran tepi tasiknya.

    Namun kini, air di Tasik Aculeo ini hanya tinggal sebagai kenangan.

    Suasana pemandangan Tasik Aculeo di Paine, kira-kira 70 kilometer barat daya Santiago, Chile, pada 3 Februari 2010. – AFP
    Beberapa ekor kuda dilihat berada di bawah jeti perairan di Tasik Aculeo, Paine, yang kini sudah kering kontang. – AFP
    Gabungan gambar yang dihasilkan pada 19 Mac 2019 menunjukkan suasana pemandangan pengunjung sedang mengayuh kayak mereka di Tasik Aculeo (Atas) di Paine pada 1 Januari 2013 dan pemandangan lagun ke-ring yang diambil di tempat yang sama pada 5 Mac 2019. – AFP
    Suasana jeti yang terdapat di Tasik Aculeo, Paine, yang kini sudah kering kontang. – AFP
    Sebuah bot terlihat terbengkalai di Tasik Aculeo, Paine, yang kini sudah kering kontang. – AFP

    Papan tanda yang berbunyi “Pantai sesuai untuk aktiviti berenang di kawasan boya” di Tasik Aculeo, Paine, yang kini sudah kering kontang. – AFP
    Gabungan gambar yang dihasilkan pada 19 Mac 2019 menunjukkan sebuah jeti di Tasik Aculeo di Paine (Atas) pada 1 Januari 2013 dan sebuah bot yang telah dibiarkan di tempat yang sama pada 5 Mac 2019. – AFP

    “Kami telah mengalami kekeringan selama 10 tahun dan kini tasik ini telah lenyap, begitu juga dengan pelancongan, perkhemahan, perniagaan, segala-galanya,” kata Marcos Contreras, pekerja perkhemahan.

    Jeti-jeti kayu kini hanya terpacak di sana sebagai ‘perhiasan.’ Manakala kanu-kanu dan bot-bot dibiarkan berhabuk (tidak digunakan lagi) di tempat bekas perairan itu.

    Tanda gergasi yang menunjukkan suasana tasik pada zaman dahulu terlihat terpapar di sana dengan slogan ‘Bantu kami untuk melindungi lagun ini.’

    Ianya pernah mempunyai kedalaman sedalam 20 kaki (enam meter). Namun paras air mula jatuh dari 2011. Menjelang Mei lalu, tasik itu telah kering sepenuhnya.

    Tiada penjelasan utama, walaupun perubahan iklim adalah faktor utama. Penduduk tempatan dan pakar mengatakan bahawa kurangnya turunan hujan adalah salah satu puncanya. Tetapi pengamal-pengamal pertanian yang telah menggunakan banyak air dan juga pembangunan tepi sungai juga merupakan faktornya.

    “Datuk nenek saya masih ingat ketika hujan lebat turun sekurang-kurangnya seminggu, dan kini, jika ianya hujan pun hanya selama dua hari sahaja, kami bernasib baik,” kata Camila Nunez, 20, yang bekerja di sebuah restoran berdekatan.

    Purata hujan tahunan di pusat Chile semasa tahun 1980an adalah hampir 14 inci (350 milimeter). Menjelang 2018, ianya telah jatuh kepada separuh. Para saintis meramalkan yang ianya akan terus jatuh kerana pemanasan global.

    “Kami hidup melalui tempoh kemarau yang sangat lama, yang telah berlaku beberapa tahun ini,” kata Eduardo Bustos, pengarah penyelidikan perubahan iklim di Universiti Katolik Chile.

    “Pada masa akan datang, kita melihat bahawa adanya kecenderungan turunan hujan itu semakin menurun, jadi besar kemungkinan bahawa dalam beberapa tahun akan datang ianya akan terus kering seperti yang kita alami sekarang.”

    Sekitar 70 peratus penduduk Chile hidup di kawasan yang sering mengalami kemarau di mana turunan hujan telah susut dengan ketara.

    Pakar menganggarkan suhu akan terus meningkat hingga 2030 dan paras air di kawasan pedalaman akan turun sebanyak 30 peratus.

    Tetapi faktor-faktor lain telah menyumbang kepada bencana ekologi di Tasik Aculeo.

    Tasik yang berdaya maju dan hidup bermakna sektor pelancongan yang berkembang pesat. Ia membuktikan magnet bagi pemaju. Kedua adalah pembinaan rumah-rumah dan kedai-kedai yang berkembang pesat, yang membawa kepada peningkatan permintaan air secara domestik dalam masa yang singkat.

    Perladangan juga telah meletakkan tekanan tambahan pada ekosistem yang menyebabkan terlebih eksploitasi terhadap tasik-tasik untuk tujuan pengairan, terutamanya bagi penanaman avokado yang begitu menguntungkan.

    “Keperluan air untuk tanaman-tanaman di kawasan pertanian ini telah menghasilkan tekanan di lagun tersebut” sehingga ianya kering kontang, kata Bustos.

    Apa yang tinggal hanyalah landskap berdebu dan merekah, dengan ditumbuhi pokok-pokok renek yang sudah kering. Dan kenangan musim panas bagi penduduk setemapat adalah seperti Antonia Romero.

    Beliau berusia 26 tahun itu, yang telah dibesarkan di pesisir tasik tersebut dan kini bekerja di salah sebuah tempat perkhemahan yang masih berfungsi di sana, hanya membayangkan ‘kematiannya:’ “Kami membunuh tasik ini sedikit demi sedikit.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda